Saturday 26 December 2015

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 2015

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor, 1437 H tahun masihi 2015 yang jatuh pada 24 Disember 2015 disambut meriah di Stadium Mini Shah Alam dan Stadium Melawati. Disulamkan rasa rindu terhadap baginda Rasullah S.A.W majlis tersebut berjalan dengan lancar atas berkat kerjasama dari setiap individu.
  
                Tepat pada pukul 5:50 pagi, semua peserta tiba di Stadium Mini Shah Alam. Solat Subuh berjemaah dilakukan bersama-sama serta diakhiri dengan doa, meminta tuah dan keizinan daripada Allah SWT agar perarakan yang akan dilakukan pada hari yang mulia ini di redhai dan diberkati oleh Nya. Setiap sekolah yang menyertai perarakan tersebut mempunyai tema masing-masing yang pelbagai dan kreatif. Pasukan perarak sekolah kita juga tidak ketinggalan dengan mononjolkan kreativiti dan keseragaman sebagai satu kontinjen yang mewakili 43 orang. Bermula dengan sepanduk ke pakaian sehinggalah ke perarakan semuanya teratur rapi. Kepelbagaian warna dari segi pakaian dan sepanduk melahirkan satu kontra warna yang mewarnakan lagi sambutan maulidur rasul pada kali ini.

                Pada seawal 6:45 pagi, mereka berhimpun di tapak acara dan juri memulakan penilaian dan pemarkahan. Sambutan ini turut dihadiri oleh Sultan Selangor. Kontinjen mula berarak pada jam 8 pagi. Perarakan bermula di Stadium Mini Shah Alam dan berakhir di Stadium Melawati. Paluan kompang dan alunan selawat tidak putus dialunkan. Pelbagai selawat yang dilafazkan oleh setiap kontinjen yang menyertai perarakan tersebut.

               Selepas itu, semua kontinjen diarahkan supaya berkumpul di Stadium Melawati. kini sambutan maulidur rasul tiba ke acara kemuncak iaitu acara pengumuman dan penyampaian hadiah yang dinanti nantikan. Dengan sukacita dimaklumkan bahawa Kontinjen dari sekolah kita telah meraih kemenangan dari dua kategori iaitu Johan bagi kategori Sepanduk dan Naib Johan bagi Perarakan. Diucapkan tahniah kepada semua pemenang.

             Segala kerjasama dan usaha para pelajar amatlah dihargai. Diharapkan agar sambutan maulidur rasul pada tahun yang akan datang dapat disambut dengan penuh meriah lagi.